Latar belakang Merapok

Secara keseluruhannya, Merapok terdiri daripada 11 buah kampung iaitu Kampung Bangkatan, Kampung Patarikan, Kampung Masjid Baru, Kampung Languban, Kampung Sasa, Kampung Tanah Si Bagol, Kampung Bukit Puan, Kampung Munchu, Kampung Undop, Kampung Lempaki dan Kampung Bukit Manang. 

Pusat Ekonomi Digital Merapok terletak di salah sebuah kampung di Merapok iaitu Kampung Bangkatan. Kampung Bangkatan telah dibuka sekitar tahun 1815. Individu pertama yang meneroka kampung ini adalah Tunggal bin Haji Damit iaitu bapa mertua ketua kampung yang terawal (Pengiran Besar bin Pengiran Mumin). Pada awal pembukaannya, kampung ini diberi nama Banting disebabkan ada sebatang anak sungai yang bernama Sungai Banting.

Asal usul nama Kampung Bangkatan adalah daripada satu spesies monyet iaitu Monyet Belanda atau nama saintifiknya Proboscis Monkey yang terdapat banyak di kawasan kampung ini semasa awal pembukaannya. Kemudian, peneroka awal kampung ini telah sepakat untuk menamakan kampung yang baru diterokai itu sebagai Kampung Bangkatan.

Setelah persempadanan semula, lokasi Kampung Bangkatan adalah terletak di tengah-tengah iaitu antara Kampung Patarikan dan Kampung Masjid Baru dan mempunyai keluasan kira-kira 10 km persegi. Majoriti komuniti di sini adalah terdiri daripada bangsa Kedayan, Cina dan Melayu Brunei.

Nama Ketua Kampung Bangkatan dari dulu hingga kini

1.) Pengiran Besar bin Pengiran Mumin        

2.) Haji Arbi bin Rajang

3.) Pengiran Usop bin Pengiran Besar

4.) Awangku Ahmad bin Pengiran Abu Bakar